Amaran Bank Negara berkaitan pasaran hartanah
Bank Negara menyifatkan pasaran hartanah Malaysia semasa berhadapan masalah ketidakseimbangan dalam permintaan dan bekalan, menyebabkan lambakan rumah tak terjual dan ruang komersial yang tidak dihuni.
Dalam buletin suku tahunan Bank Negara yang diterbitkan semalam, ia turut membangkitkan masalah kekurangan bekalan bagi rumah mampu milik.
"Keadaan ini akan memburuk jika trend bekalan-permintaan semasa kekal tidak berubah. Johor bakal berhadapan ketidakseimbangan pasaran hartanah terbesar (bilangan rumah tak terjual tertinggi dan risiko jumlah bekalan ruang komersial terbesar)," kata Bank Negara.
Maka, kata Bank Negara, sudah tiba masanya untuk semua pihak bertindak bagi menangani perkara ini yang mampu memberi kesan negatif kepada makroekonomi dan kestabilan kewangan.
Menurut Bank Negara lagi, jumlah unit kediaman yang tidak terjual hari ini pada kadar tertinggi bagi dekad ini, dan punca utamanya adalah bilangan projek perumahan baru yang tidak selaras dengan apa yang mampu dibayar isi rumah.
Laporan itu memaklumkan bagi suku pertama tahun ini, sejumlah 130,690 unit kediaman yang tidak terjual.
"Ia hampir mencecah dua kali ganda purata (unit tak terjual) antara 2004 hingga 2016, iaitu 72,239 unit.
"Kira-kira 83 peratus daripada jumlah itu adalah dalam kategori harga RM250,000 ke atas," kata Bank Negara.
Pejabat kosong
Bagi kategori itu, Johor mencatat peratusan tertinggi iaitu 27 peratus rumah tidak terjual, diikuti dengan Selangor (21 peratus), Kuala Lumpur (14 peratus) dan Pulau Pinang (lapan peratus).
Laporan itu juga berkata, antara tahun 2016 dan suku pertama 2017, hanya 21 peratus projek perumahan baru berharga kurang RM250,000.
Memburukkan lagi keadaan, median pendapatan isi rumah meningkat dengan kadar yang lebih perlahan berbanding median harga rumah.
Bagi hartanah komersial pula, Bank Negara berkata kadar kekosongan di Lembah Klang meningkat kepada 23.6 peratus bagi suku pertama 2017 berbanding 20.9 peratus dua tahun lalu.
Bank Negara meramalkan ia akan mencecah peratusan tertinggi pada 2021 iaitu dengan kadar 32.8 peratus - lebih tinggi daripada ketika krisis Kewangan Asia pada 1997.
"Dengan kata lain, jika dinamika bekalan-permintaan sekarang berterusan, satu daripada tiga ruang pejabat di Lembah Klang tidak akan diduduki pada 2021," katanya.
Yakin tapi tetap waspada
Sementara itu, Bank Negara berkata bank masih memberikan pinjaman perumahan, kebanyakannya kepada pembeli rumah pertama dengan harga RM500,000 ke bawah.
Namun, bank kini lebih berwaspada untuk meluluskan pinjaman kepada pembeli ruang komersial, seperti yang ditunjukkan dengan kadar kelulusan yang lebih rendah.
Katanya, hanya 5.1 peratus daripada pinjaman yang diluluskan bank untuk segmen hartanah komersial.
Namun, Bank Negara yakin industri perbankan mampu berhadapan kelesuan dalam segmen hartanah.
sumber - MalaysiaKini